We Are Families Helping Families
Normisa

Nama saya Normisa, salah seorang penghidap penyakit kanser jenis Acute Myeloid Leukemia(AML). Saya disahkan menghidapi penyakit ini ketika berumur 11 tahun pada tahun 2013. Perjalanan hidup saya ketika disahkan penghidap penyakit ini sangat sukar.

Ia bermula apabila suatu hari saya mendapati bahagian kaki saya membengkak dan kelihatan lebam. Tambahan pula, bintik-bintik merah mula merebak di sekitar tubuh badan saya. Keluarga mula sedar perkara itu dan membuat keputusan untuk menghantar saya ke klinik berdekatan. Namun, doktor mendapati penyakit saya bukanlah perkara biasa lalu menghantar saya ke hospital yang lebih baik iaitu Hospital Umum Sarawak. Disitulah doktor mengesahkan bahawa saya menghidap penyakit leukemia (AML).

Perasaan saya ketika mengetahui penyakit itu bercampur-baur. Saya sedih dan susah hati dalam masa yang sama. Saya disarankan untuk mendapatkan rawatan dengan segera. Oleh itu, saya telah melakukan rawatan kemoterapi sebanyak 5 kali. Proses itu tidaklah mudah kerana saya rasa sangat sakit. Setelah melakukan rawatan itu juga, rambut saya mula gugur dan tubuh badan saya mula susut. Badan juga terasa lemah dan selera makan mula berkurangan. Saya terpaksa bergantung dengan ubat selama setahun.

Alhamdulillah, ketika tempoh rawatan saya di Hospital Umum Kuching Sarawak, pihak Sarawak Children Cancer Society (SCCS) telah membantu saya dalam pelbagai aspek. Bermula dari bantuan kewangan, sokongan mental sehinggalah rumah tumpangan untuk kediaman kami sementara mendapatkan rawatan agar urusan kami menjadi lebih mudah. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka (SCCS).

Setelah itu, dengan Izin yang Maha Esa, walaupun tidak mudah, saya diberikan kesembuhan setelah melawan kanser ini. Bagaikan mimpi, saya rasa sangat bersyukur dan gembira. Allah masih berikan saya peluang untuk jalani kehidupan normal seperti hambanya yang lain. Apa yang saya ingin katakan ialah, kepada pejuang-pejuang kanser diluar sana, jangan mudah menyerah dan sentiasa berusaha untuk mendapatkan kesihatan. Doakan yang terbaik untuk diri sendiri dan teruslah mengharapkan keajaiban.”