Nurul Azfa Husna didiagnos kanser B-Cell Non Hodgkin’s Lyphomma Stage 4 setelah menjalani pembedahan usus di Hospital Bintulu pada awal Disember 2020 di usia 7 tahun. Kini dia berumur 8 tahun dan telah balik ke Bintulu untuk rawatan susulan.
“Detik dan pengalaman apabila menjadi salah satu keluarga kepada pesakit kanser, bagi kami adalah ketika Specialist memaklumkan tarikh untuk kimoterapi. Kerana di setiap tempoh ini, persiapan dari pelbagai aspek termasuk kesihatan diri, mental, fizikal harus kuat untuk mengharungi tempoh dan kesan dari kimoterapi. Ketika Azfa selesai protokol ke 3, CVL yang digunakan tidak dapat berfungsi dengan baik dan akhirnya terpaksa dibuka kerana infeksi darah berlaku menyebabkan bilangan darah merah & putih Azfa menurun mendadak sehingga demam menggigil hingga 3-4 hari, kulit mengelupas di seluruh badan dan hidung berdarah tanpa henti kerana infeksi & kesan dari kimoterapi. Perasaan sebagai seorang ibu melihat perjuangan anak yang bertarung nyawa ketika itu, saya hanya Redha dan berserah kepada Tuhan yang Maha Mengetahui serta Maha menyembuh. Apapun Syukur alhamdulillah.”
“Sepanjang mengharungi liku-liku ini, kita kutip kecekalan dan kekuatan dari anak-anak di Wad 2A yang sentiasa mengukir senyuman walaupun mereka tidak mengerti apa itu kanser kerana berjuang hingga ke hujung nyawa, serta sokongan moral dari seluruh warga Nurse, MO, Specialists dan tidak dilupakan team SCCS yang selalu ada selain keluarga & kawan-kawan.”
“Team SCCS amat bekerjasama dengan penjaga & pesakit sepanjang berada dalam rawatan mahupun yang telah habis rawatan dari segi bantuan kewangan,sokongan moral serta kemudahan. Yang tak akan dilupakan semasa menyambut harijadi Azfa yang ke 8 pada bulan Mac 2021. Senyuman manis Azfa terukir kerana SCCS sudi meraikan bersama di dalam wad memberi semangat untuk terus berjuang”
“Alhamdulillah, Azfa telah selesai 7 protokol kimoterapi termasuk 2 protokol untuk reassessment di SGH selama 6 bulan. Kini menjalani rawatan susulan di Hospital Bintulu. Tanda sokongan penuh dan tidak membiarkan Azfa bersendirian , salah satunya inisiatif yang dilakukan adalah kami sekeluarga telah mencukur rambut untuk menemani Azfa mengharungi perjuangannya kini dan selamanya.”
“Buat semua sahabat serta pejuang kanser, jangan pernah putus asa, kuatkan semangat serta yakinlah Tuhan sentiasa mendengar doa kita. Apapun yang terjadi pasti ada hikmah dan kita adalah insan yang istimewa.”
“Cancer can take away all my physical abilities but it cannot touch my Spirit… It cannot touch my Heart, It cannot touch my Soul “