Muhammad Aisy
Rizqi bin Murdani lahir pada 3 Februari 2015, dan kini berusia 4 tahun Aisy
seorang kanak-kanak yang aktif dan sukakan aktiviti luar seperti bermain bola,
berenang dan bermain basikal. Warna kegemaran Aisy adalah merah manakala
makanan kegemaran Aisy pula adalah pizza pepperoni.
Aisy telah didiagnos
menghidap Acute Lymphoblastic Leukemia pada pertengahan bulan Mac 2019. Aisy
baharu sahaja 2 bulan lebih memulakan persekolahannya di PASTI Darul Hana
sebelum disahkan kanser. Walaubagaimanapun, Aisy terpaksa diberhentikan
persekolahannya buat sementara waktu, demi fokus dengan rawatan kimoterapi yang
sudah ditetapkan oleh doktor pakar.
Antara simptom
yang dihadapi oleh Aisy sebelum disahkan kanser adalah kurang aktif, demam
“on off”, kurang selera makan, bibir tapak tangan dan tapak kaki yang
teramat pucat, dan selalu mengadu badannya berasa penat. Oleh kerana risau akan
simptom-simptom tersebut, ibunya membawa Aisy ke poliklinik untuk menjalani
ujian darah. Setelah mendapat keputusan ujian, darah yang tidak
memberansangkan, serta merta Aisy dibawa menggunakan ambulans terus ke HUS
untuk penilaian selanjutnya pada masa itu juga. Setelah mendapati Aisy disahkan
menghidapi Leukaemia (ALL) semestinya kedua ibu bapanya merasa teramat sedih
dan terkejut, namun harus kuat demi memastikan Aisy akan sembuh seperti
kanak-kanak yang lain.
Ibu Aisy berharap
agar semua ibu bapa kepada kanak-kanak kanser di dunia ini sentiasa cekal,
tabah dan redha atas takdir yang diberikan. Bukan mudah untuk melihat kesakitan
yang di tanggung oleh anak, namun itu bukan alasan untuk ibu bapa menyerah
kalah. Sebaliknya, ibu bapa harus kuat semangat, bersikap positif dan sentiasa
memberi kata-kata semangat untuk anak. Dengan demikian, anak-anak juga akan
bersemangat untuk melawan rasa sakit dan percaya diri bahawa mereka juga boleh
sembuh.
Akhir sekali, Ibu
Aisy ingin berterima kasih kepada warga SCCS, para doktor dan jururawat di Wad
2A Pediatrik Onkologi Hospital Umum Sarawak, kerana sentiasa memberi khidmat
yang terbaik buat pesakit kanak-kanak kanser.