Bidadari syurgaku, Adellia Sofea yang amat dirindui. Mama akan teruskan kehidupan dengan setabahnya
Adellia Sofea
Binti Nur Amzzareza telah disahkan menghidap Medulloblastoma pada usia 4 bulan.
Adellia menjalani pembedahan untuk membuang tumor pada 9/2/2018. Namun begitu,
doktor pakar memaklumkan tidak berjaya untuk membuang sepenuhnya kerana jenis
tumor yang agak agresif. Adellia berkesempatan menjalani 3 protokol kemoterapi
di HUS. Disebabkan tumor semakin merebak, pada 27/4/2018 keluarga memohon
supaya Adellia diatur balik ke Bintulu di bawah penjagaan paliatif. Adellia meninggalkan
kami buat selama-lamanya pada 4/6/2018.
Kenangan yang
masih segar bersama Adellia membuatkan saya ingin mengikuti GoBald pada Mac
2019 buat kali ke-2 di Wad 2A. Pada saat itu, kenangan yang telah dilalui
bersama-samanya di Wad 2A terimbas kembali di ingatan. Sungguh tidak
disangkakan, pada masa itu telah hampir setahun dia tidak bersama kami lagi.
Adellia telah mengalami keguguran rambut yang sangat ketara setelah berada di
Hospital Bintulu dan ia berterusan sehingga Adellia hampir botak. Kekuatan Adellia
untuk berjuang melawan penyakitnya dan menjalani rawatan juga membuatkan saya
bertekad untuk Go Bald. Walaupun Adellia telah tiada, semangatnya akan sentiasa
bersama saya. Selain itu, saya ingin seiring sejalan bersama-sama anak-anak
kanser yang lain di mana mereka juga terpaksa keguguran rambut setelah
menjalani rawatan. Setelah apa yg terjadi ke atas Adellia, saya berasa sangat
hatiku dekat dengan anak-anak kanser walaupun tidak mengenali mereka. Saya juga
berharap orang ramai dapat faham apakah intipati program Go Bald yang ingin
ketengahkan.
Pada Ogos 2018,
saya menghadiri Memori Kasih yang diadakan di SCCS Kuching. Pada masa itu, baru
2 bulan setelah kehilangan Adellia. Apa yang membuatkan saya ingin hadir ialah
saya ingin mencari kekuatan untuk diri sendiri. Setelah kehilangan Adellia,
saya akui bahawa ia bukanlah satu perjalanan yang mudah. Lebih-lebih lagi
kerana saya menanti hingga 6 tahun untuk mendapatkan zuriat pertama. Hidup
dengan kenangan bersama yang tersayang yang telah tiada di sisi amatlah
memeritkan. Dengan cara membuat perkongsian kisah Adellia pada waktu itu,
membuatkan saya berasa tidak keseorangan dalam mengharungi dugaan ini. Saya
membuka minda dan melihat jauh ke hadapan bahawa ada ibu bapa lain juga
mengalami keadaan yang sama, tetapi mereka berjaya mengharungi hari-hari mereka
tanpa kehadiran anak-anak syurga mereka. Mereka juga mengakui proses
penyembuhan emosi ini akan mengambil masa. Mereka juga menasihati saya supaya
menyibukkan sehari-hari dengan tugas harian supaya tidak terlalu memikirkan
anak yang telah tiada. Saya berasa amat beruntung pada waktu itu kerana ibu
bapa lain yang turut hadir amat memberi sokongan moral kepada satu sama lain.
Setelah pemergian
Adellia, saya telah melibatkan diri secara sukarela buat pertama kali untuk
program GoBald 2019. Demi membantu SCCS mengumpul dana bagi tujuan kegunaan
anak-anak SCCS, kerana telah mengalami sendiri apa yang diperlukan selama
menjalani rawatan. Di samping itu, saya mendaftarkan diri buat kali yang ke-2
pada tahun ini untuk program Colour Rush. Saya berpendapat, jika bukan keluarga
SCCS dan anak-anak kanser, siapa lagi yang lebih sesuai mendahului gerakan
kesedaran ini. Orang ramai boleh membantu dari segi kewangan dan sokongan
moral. Tetapi, untuk memberi kesedaran sebenar tentang kanser di kalangan bayi
dan kanak-kanak, keutamaan adalah dari pihak keluarga itu sendiri kerana telah
merasa sendiri bahawa penyakit ini memang wujud di kalangan bayi dan
kanak-kanak dan perjalanannya tidak mudah.
Saya telah
daftarkan diri untuk Heart of Gold SCCS Monthly Donation program sebagai
sokongan yang berterusan kepada SCCS & family kepada anak-anak kanser yang
memerlukan.