Mike Majeng berasal dari Sri Aman Sarawak dan berusia 6 tahun. Dia telah didiagnos menghidap Neuroblastoma tahap 4. Dia telah berjaya menamatkan rawatan intensive di Hospital Umum Sarwak. Kini, dia hanya datang ke hospital sebulan sekali untuk temu janji dengan doktor.
Mike Majeng bersekolah di SK Melugu dalam darjah 1. Dia telah kembali ke sekolah selama 2 bulan dan merasa sangat gembira bila dapat berjumpa dengan kawan-kawannya. Symptom yang dialami oleh Mike sebelum ibu bapanya membawanya ke hospital, adalah matanya lebam dan tidak menghilang dan tidak sembuh selama sebulan.
Mike merupakan seorang kanak-kanak yang sangat ceria. Dia sentiasa aktif seperti kanak-kanak normal walaupun dalam keadaan sakit. Dia juga selalu memberikan senyuman kepada jururawat, para doktor serta cikgu yang singgah ke katilnya walaupun di saat itu dia menahan kesakitan. Itulah sifat unik Mike yang menjadikan ibunya kuat dan tabah dalam mengharungi segala cabaran hidup di dalam wad untuk menjaga anaknya yang sakit.
Mike bercita-cita untuk menjadi seorang ahli bomba. Mike menyatakan bahawa bomba sangat penting untuk menyelamatkan orang ketika kebakaran terutamanya bila rumah panjang terbakar. Selain itu, bomba juga boleh menyelamatkan orang ketika berlakunya kemalangan. Bagi Mike, bomba adalah superhero. Makanan kegemaran Mike adalah ayam goreng dan hobinya pula mewarna, menonton upin-ipin dan membaca buku bersama adik kembarnya.
Ibu Mike berpesan kepada ibu bapa yang mempunyai simptom–simptom pelik pada anak mereka haruslah membawa anak mereka dengan kadar yang segera. Berikan lah anak–anak makanan yang sihat dan berkhasiat yang baik untuk tubuh badan anak –anak dan juga kesihatan mereka. Mike juga berpesan agar rajinlah belajar, walaupun sakit pelajaran jangan ditinggalkan. Ibu Mike juga amat berterima kasih kepada SCCS kerana telah banyak membantu Mike semasa dia menerima rawatan di wad. SCCS telah banyak menceriakan hari–hari Mike dengan pelbagai aktiviti. Salah satunya adalah Majlis Hari jadi. Selain itu, SCCS juga memberikan tempat tinggal yang selesa dan juga percuma kepada mereka yang tidak mempunyai saudara mara di Kuching. SCCS banyak meringankan beban dan dia akan terus menyokong segala usaha yang dijalankan oleh SCCS untuk membantu kanak-kanak kanser.