We need your help and everyone’s help to support them. We need to show them that we all have their back and is doing our part in their journey of fighting childhood cancer.
You can help by either contributing financially to our cause, or to take part in our efforts to support them. Of course, it would be best if you can do both!
28 September 2019 ·
<Bidadari syurgaku, Adellia Sofea yang amat dirindui. Mama akan teruskan kehidupan dengan setabahnya>
Adellia Sofea Binti Nur Amzzareza telah disahkan menghidap Medulloblastoma pada usia 4 bulan. Adellia menjalani pembedahan untuk membuang tumor pada 9/2/2018. Namun begitu, doktor pakar memaklumkan tidak berjaya untuk membuang sepenuhnya kerana jenis tumor yang agak agresif. Adellia berkesempatan menjalani 3 protokol kemoterapi di HUS. Disebabkan tumor semakin merebak, pada 27/4/2018 keluarga memohon supaya Adellia diatur balik ke Bintulu di bawah penjagaan paliatif. Adellia meninggalkan kami buat selama-lamanya pada 4/6/2018.
Kenangan yang masih segar bersama Adellia membuatkan saya ingin mengikuti GoBald pada Mac 2019 buat kali ke-2 di Wad 2A. Pada saat itu, kenangan yang telah dilalui bersama-samanya di Wad 2A terimbas kembali di ingatan. Sungguh tidak disangkakan, pada masa itu telah hampir setahun dia tidak bersama kami lagi. Adellia telah mengalami keguguran rambut yang sangat ketara setelah berada di Hospital Bintulu dan ia berterusan sehingga Adellia hampir botak. Kekuatan Adellia untuk berjuang melawan penyakitnya dan menjalani rawatan juga membuatkan saya bertekad untuk Go Bald. Walaupun Adellia telah tiada, semangatnya akan sentiasa bersama saya. Selain itu, saya ingin seiring sejalan bersama-sama anak-anak kanser yang lain di mana mereka juga terpaksa keguguran rambut setelah menjalani rawatan. Setelah apa yg terjadi ke atas Adellia, saya berasa sangat hatiku dekat dengan anak-anak kanser walaupun tidak mengenali mereka. Saya juga berharap orang ramai dapat faham apakah intipati program Go Bald yang ingin ketengahkan.
Pada Ogos 2018, saya menghadiri Memori Kasih yang diadakan di SCCS Kuching. Pada masa itu, baru 2 bulan setelah kehilangan Adellia. Apa yang membuatkan saya ingin hadir ialah saya ingin mencari kekuatan untuk diri sendiri. Setelah kehilangan Adellia, saya akui bahawa ia bukanlah satu perjalanan yang mudah. Lebih-lebih lagi kerana saya menanti hingga 6 tahun untuk mendapatkan zuriat pertama. Hidup dengan kenangan bersama yang tersayang yang telah tiada di sisi amatlah memeritkan. Dengan cara membuat perkongsian kisah Adellia pada waktu itu, membuatkan saya berasa tidak keseorangan dalam mengharungi dugaan ini. Saya membuka minda dan melihat jauh ke hadapan bahawa ada ibu bapa lain juga mengalami keadaan yang sama, tetapi mereka berjaya mengharungi hari-hari mereka tanpa kehadiran anak-anak syurga mereka. Mereka juga mengakui proses penyembuhan emosi ini akan mengambil masa. Mereka juga menasihati saya supaya menyibukkan sehari-hari dengan tugas harian supaya tidak terlalu memikirkan anak yang telah tiada. Saya berasa amat beruntung pada waktu itu kerana ibu bapa lain yang turut hadir amat memberi sokongan moral kepada satu sama lain.
Setelah pemergian Adellia, saya telah melibatkan diri secara sukarela buat pertama kali untuk program GoBald 2019. Demi membantu SCCS mengumpul dana bagi tujuan kegunaan anak-anak SCCS, kerana telah mengalami sendiri apa yang diperlukan selama menjalani rawatan. Di samping itu, saya mendaftarkan diri buat kali yang ke-2 pada tahun ini untuk program Colour Rush. Saya berpendapat, jika bukan keluarga SCCS dan anak-anak kanser, siapa lagi yang lebih sesuai mendahului gerakan kesedaran ini. Orang ramai boleh membantu dari segi kewangan dan sokongan moral. Tetapi, untuk memberi kesedaran sebenar tentang kanser di kalangan bayi dan kanak-kanak, keutamaan adalah dari pihak keluarga itu sendiri kerana telah merasa sendiri bahawa penyakit ini memang wujud di kalangan bayi dan kanak-kanak dan perjalanannya tidak mudah.
Saya telah daftarkan diri untuk Heart of Gold SCCS Monthly Donation program sebagai sokongan yang berterusan kepada SCCS & family kepada anak-anak kanser yang memerlukan.